Sunday, February 28, 2010

Kenali dan “Galilah” POTENSI DIRI Anda

Salah satu topik yang paling banyak ditanya oleh pembaca blog ini adalah tentang Kekuatan Minda atau biasanya kita panggil Kuasa Minda. Baik dari segi apa itu Kuasa Minda hingga kepada bagaimana mahu menggunakan kaedah dan teknik Kuasa Minda yang betul. Sebenarnya, Jika saya mahu menarik lebih ramai pembaca ke blog ini, salah satu caranya adalah dengan memperbanyakkan lagi artikel yang menceritakan subjek ini.



Tetapi saya sengaja memilih untuk menulis subjek lain yang saya lihat sering kali dilupakan TETAPI merupakan elemen-elemen penting di dalam bidang pembangunan diri. Sudah ada beberapa blog lain yang menulis tentang kuasa minda. Tetapi jika kita hanya menumpukan tentang kekuatan minda sahaja, saya khuatir potensi diri manusia yang lain akan dilupakan atau diabaikan. Ini tidak bermaksud bahawa saya menganggap kuasa minda itu tidak penting atau kurang berkesan TETAPI saya ingin membawa skop POTENSI MINDA dan KEKUATAN MINDA ini dalam lingkungan persepsi yang lebih luas di kalangan pembaca, peminat dan pengamal subjek ini.



“Tidak ada yang amat baik telah dicapai kecuali mereka yang berani dan percaya bahawa ADA SESUATU DI DALAMNYA adalah lebih baik daripada keadaan persekitarannya.”-Bruce Barton



Sebenarnya, potensi yang dimiliki oleh manusia itu adalah sangat besar. Ia tidak terhad atau terbatas hanya pada kekuatan minda sahaja. Kerana itu saya lebih suka menulis pelbagai subjek yang berkaitan dengan potensi dan kemampuan yang dimiliki oleh manusia. Bukan sekadar kuasa minda. Jika kita mempelajari kuasa minda tetapi tidak tahu bagaimana potensi diri seperti Kuasa Emosi dan Kuasa Kerohanian kita boleh memberi impak pada diri, kebarangkaliannya kuasa atau tenaga yang anda pancarkan melalui minda anda akan terganggu dengan tenaga emosi atau tenaga kerohanian yang anda hasilkan.



Kerana itu saya selalu menekankan pembangunan yang SEIMBANG dan HOLISTIK di dalam kita menjana kemampuan dan kekuatan dalaman kita. Saya berpendapat, memperkasakan potensi diri yang kita miliki secara menyeluruh akan memberi kesan yang lebih cepat dan berkesan kepada perubahan diri seseorang individu.



Maka, kita balik semula pada minda kita. Apa yang ingin saya tegaskan adalah manusia mempunyai kepelbagaian potensi yang saling berkait. Memang manusia kejadian Allah swt yang amat kompleks dan misteri penciptaanya. Maka, setiap apa yang kita pelajari dan kita amalkan akan meningkatkan potensi diri kita sebagai seorang insan di muka bumi ini. Kualiti kehidupan kita akan semakin baik.



Bayangkan bagaimana kehidupan anda akan berubah apabila anda tahu bagaimana anda mahu meyelarasan tenaga yang anda pancarkan didalam minda anda dengan tenaga keinginan (impian) anda. Bayangkan bagaimana anda tahu apakah kepercayaan atau mindset yang menjadi penghalang kepada kejayaan anda dan apakah kepercayaan yang akan mendorong dan menyokong keinginan di dalam kehidupan anda. Bayangkan juga bagaimana anda menjalani kehidupan anda dengan lebih ceria dan gembira apabila anda tahu bagaimana mengendalikan dan menjana kuasa emosi diri anda?



Allah swt telah sediakan alat dan “senjata” yang cukup untuk manusia berjaya di dalam kehidupannya. CUMA…manusia perlu mengali dan mengenali apakah alat dan “senjata” yang telah disediakan untuk mereka. Rugilah anda jika anda telah mempunyai perisai dan sebilah parang untuk mempertahankan diri bila diserang seekor serigala TETAPI anda tidak mahu atau tidak tahu menggunakannya?



Ia samalah situasi yang anda alami di dalam kehidupan anda yang sebenarnya. Adakah anda hanya mahu menyimpan sahaja alat-alat atau “gadget-gadget” hebat yang telah Allah swt sediakan khas HANYA untuk manusia supaya mereka hidup dengan makmur di muka bumi ini?



“Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya.”

(Surah Huud 11:61)



Sudah tentu kita kadang kala akan melalui sedikit kesusahan..kadang kala melimpah kemewahannya..kadang kala sedikit kecewa dan ada masanya gembira ceria sepanjang masa. Ini semua memang ada hikmahnya. Tetapi kita juga telah disediakan cara dan kaedah begaimana kita mengendalikan situasi kehidupan kita. Yang penting ingin saya tegaskan adalah kenali diri kita dan anda akan tahu betapa Allah itu Maha Besar. Tidak ada yang mistik keran setiap itu ada penjelasannya. Hanya kita mengetahuinya atau belum diizinkan oleh-Nya.



Seperti anda, saya juga berharap kita semua mencapai kehidupan yang sukses dan bahagia di dunia ini.



Salam Kemakmuran..

Amar Mahmood

No comments:

Post a Comment